Malah teknik yang berasal dari Jepun ini juga diakui dapat membantu mereka mengerjakan solat dengan lebih selesa, termasuk memperbaiki pergerakan menjadi lebih sempurna.

Ara Masafumi
Ara Masafumi 

Setiausaha Bengkel Terapi Psikologi Rehabilitasi Dousa Hou, Mohd. Fudzi Ibrahim berkata, menerusi kaedah 'Dousa Hou', ia akan membantu jemaah mengerjakan solat dengan lebih mudah terutamanya ketika rukuk dan duduk di antara dua sujud.

"Biasanya kita melihat jemaah yang mempunyai masalah pergerakan anggota akan menghadapi ketidakselesaan semasa mengerjakan solat.

"Jadi, buat julung kalinya, kita telah menganjurkan Bengkel Terapi Psikologi Rehabilitasi 'Dousa Hou' di Masjid Sultan Muhammadi II Telipot hari ini bagi membantu jemaah masjid, " katanya di sini hari ini.

Bengkel yang berlangsung kira-kira empat jam itu telah diketuai oleh Presiden Fukushima Assosiation Motor Action Training (FAMAT), Ara Masafumi.

Sementara itu, Ara berkata, kaedah 'Dousa Hou' dijalankan tanpa menggunakan alat-alat bantuan atau ubat-ubatan sebaliknya menggunakan teknik proses psikologi, keinginan, usaha pesakit itu sendiri.

"Rawatan ini begitu popular di negara Jepun, pernah diamalkan di Malaysia pada 1990 di beberapa institusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk memulihkan individu yang menghadapi masalah pergerakan.

"Terapi ini amat berkesan kepada warga emas, golongan orang kurang upaya (OKU), ahli sukan atau mereka yang menghadapi trauma akibat bencana untuk menghilangkan tekanan dengan menyentuh beberapa titik penting di bahagian anggota badan," katanya. 

Sementara itu, peserta wanita Hasmah Yusoff, 64, berkata, dia yakin kaedah rawatan 'Dohsa Hou' dan ianya memberi keselesaan terutamanya ketika mengerjakan solat.

"Sudah dua tahun saya terpaksa solat di atas kerusi kerana menghadapi masalah saraf. 

"Tetapi pada hari ini, saya berpeluang menghadiri bengkel terapi kaedah 'Dousa Hou' dan ianya boleh dilakukan sendiri di rumah," katanya. - UTUSAN ONLINE