Pihak Utusan telah menjemput pihak pengurusan Dong Zong untuk menyertai sesi perbincangan terbuka dalam program Sembang Online bersama dua orang lagi ahli panel iaitu, tokoh perlembagaan dan sosiobudaya, Tan Sri Dr. Rais Yatim dan Felo Utama Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Dr. Teo Kok Seong

Ketua Pegawai Eksekutif Dong Zong, Hong Woan Ying menjelaskan, pihaknya menolak pelawaan itu bagi mengelakkan timbulnya lebih banyak salah faham mengenai isu tersebut.

Jelas Woan Ying, Dong Zong baru-baru ini menerima banyak salah faham serta kekeliruan mengenai isu-isu pendidikan dan UEC, yang mana menurut beliau, akan dijelaskan oleh pihak Jawatankuasa Pusat pertubuhan itu seberapa segera yang boleh.

“Terima kasih atas pelawaan anda, malangnya baru-baru ini pihak kami telah menerima banyak salah faham serta kekeliruan mengenai isu-isu pendidikan dan UEC.

“Pihak Jawatankuasa Pusat akan mengeluarkan satu siaran akhbar untuk memberi penjelasan mengenai isu-isu tersebut dengan seberapa segera,” katanya ketika dihubungi melalui aplikasi Whatsapp pada Isnin lalu.

Isu pengiktirafan UEC hangat apabila baru-baru ini, Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari mengumumkan pihaknya akan melaksanakan pengambilan lulusan UEC sebagai antara syarat perjawatan peringkat negeri Melaka memandangkan itu adalah sebahagian daripada manifesto Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang lalu.

Malah, isu itu juga dibangkitkan Setiausaha Agung Pemuda MCA, Datuk Leong Kim Soon yang berkata, kini DAP tidak mempunyai sebarang alasan lagi untuk tidak mengiktiraf sijil tersebut setelah wakilnya, Teo Nie Ching dilantik sebagai Timbalan Menteri Pendidikan. - UTUSAN ONLINE