Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Warisan Negara, Datuk Mod Zaky Din memberitahu, pihaknya yakin kali ini akan tercapai dengan memenuhi keperluan yang ditetapkan oleh badan dunia itu untuk dipertimbangkan.

"Persaingan semakin sengit dan UNESCO hanya menetapkan setiap negara menyertakan satu pencalonan di samping pencalonan bersama negara lain.

"Sehingga kini hanya mak yong salah satu warisan tidak ketara (ICH) negara berjaya diangkat sebagai sebagai warisan dunia. Jadi kita akan calonkan dondang sayang Melaka, juga pantun yang mempunyai elemen bersama beberapa negara ke peringkat UNESCO, bagi mendapat pengiktirafan dalam usaha memulihara dan mengembangkannya, "ujar beliau.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas merasmikan Bengkel ICH Capacity Building Modul 3 dan 4 di Hotel Primula di sini hari ini.

Bengkel yang dikendalikan oleh wakil UNESCO, Prof. Sajida Haider Vandal dari Pakistan dan Rahul Goswami dari India antara lain bagi membantu melaksanakan kaedah mempraktikkan standard antarabangsa berhubung potensi ICH Malaysia.

Yang turut hadir, Pengarah Bahagian ICH Jabatan Warisan Negara, Kalid Syed Ali dan ketua-ketua jabatan negeri dan Persekutuan.

 ICH meliputi ilmu dan kepakaran yang ditafsir melalui tradisi lisan, nilai-nilai adat dan budaya, bahasa dan persuratan.
 
 Ini termasuk acara perayaan, ritual & kepercayaan, seni persembahan, seni tampak, seni perubatan tradisional, sukan dan permainan tradisional.

  Dondang sayang mempunyai keunikan dengan dendangan lagu-lagu lirik pantun, diringi muzik yang terbentuk daripada serapan unsur pelbagai negara.

 Pantun pula, salah satu puisi rakyat yang ditulis, diucap dan dinyanyikan terus subur dipraktikkan penggunaannya di nuasantara. - UTUSAN ONLINE