Menterinya Mohamad Sabu berkata, kedudukan beliau yang masih baharu dalam kementerian itu memerlukan penerangan serta taklimat pegawai terlibat untuk mendapat penjelasan tepat.

“Saya masih baharu dan dalam proses pengenalan. Buat masa ini juga saya belum semak kes berkenaan.

“Saya mengambil pendekatan untuk bersuai kenal dahulu. Selepas itu saya akan pergi kepada perkara yang diperkatakan media,” katanya ketika ditemui dalam sidang akhbar sempena Majlis Berbuka Puasa Bersama Warga Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Pangkalan Udara Butterwoth di sini hari ini.

Sebelum ini beliau menegaskan mahu menyiasat semua isu dan dakwaan penyelewengan berkaitan kementerian berkenaan.

Yang turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dan Panglima Tentera Udara, Tan Sri Affendi Buang.

Sementara itu Mohamad berkata, beliau akan mengekalkan gaya serta penampilan yang ditonjolkan kepada khalayak umum sama seperti sebelum ini.

Menurutnya, beliau juga akan mengikut segala adat dan budaya serta protokol ketenteraan selepas ini berdasarkan nasihat pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Sekarang saya masih baharu dan di peringkat perkenalan. Walaupun penuh protokol, saya tetap mahu kekalkan ‘Mat Sabu style’. Cuma inilah yang saya perlu ikut pada masa ini selepas pelantikan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohamad berkata, kerajaan akan mempertimbangkan pembelian aset terbaharu sebagai langkah modernisasi pekhidmatan ATM.

“Kita memerlukan peralatan tersebut dalam menjaga negara. Tetapi kita akan ikut prosedur yang telus,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE