Mangsa, Naim Zafri Che Yusoff, 26, meninggal dunia selepas kereta Pero­dua Kelisa dipandunya bertembung dengan sebuah kereta Proton Exora dalam kejadian kira-kira pukul 6 pagi.

Menurut abang mangsa, Mohd. Fahmi Che Yusoff, 33, adiknya yang bertugas di HTAN sejak tahun 2016 sebelum ini tinggal di sebuah rumah sewa di Kuala Pilah.

Bagaimanapun katanya, arwah membuat keputusan untuk berulang-alik dari rumah ibu di Kampung Su­ngai Ramal Dalam, Kajang ke tempat kerjanya sejak Julai lalu kerana mahu menjaga ibu yang tinggal bersendirian selepas kematian ayah mereka.

“Kami adik-beradik pernah menasihatinya supaya tinggal di Kuala Pilah kerana perjalanan yang jauh setiap hari tetapi dia berkeras kerana mahu menjaga ibu.

“Dia mahu berbakti kepada ibu kera­na masih bujang dan tidak mempunyai komitmen lain. Dia tidak pernah berkira dan jasanya akan kami kenang sampai bila-bila,” katanya ketika ditemui di HTAN.

Ujar Mohd Fahmi, jenazah arwah yang merupakan anak bongsu daripada enam beradik dikebumikan di Kampung Sungai Ramal Dalam selepas solat Asar hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis daerah, Superintenden Haslah Bachok berkata, Naim Zafri meninggal dunia di lokasi kejadian selepas tersepit di dalam kereta manakala pemandu Proton Exora, Muhammad Azim Kamaruzaman, 26, luka di pinggang dan dahi.

“Ketika kejadian kereta Perodua Kelisa menghala ke Seremban manakala Proton Exora itu pula datang dari arah bertentangan.

“Siasatan awal mendapati kedua-dua kenderaan bertembung di te­ngah jalan sehingga mengakibatkan pemandu Perodua Kelisa tersepit dan maut di tempat kejadian,” katanya.

Tambah Haslah, kes itu disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan jalan 1987.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Pilah, Eva Saifun Kamuni memberitahu, pihak­nya mengambil masa kira-kira 20 minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit di dalam keretanya.

“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan manakala pemandu Proton Exora dibantu orang awam keluar dari kenderaan itu sebelum kami tiba,” katanya sambil memberitahu seramai sembilan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Pilah bersama dua buah jentera terlibat dalam operasi berkenaan.