Timbalan Menteri Kesihatan, Dr. Lee Boon Chye berkata, tindakan undang-undang boleh dikenakan ke atas mereka yang gagal mematuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan itu.

“Sekiranya mereka tidak berdaftar, tiada sijil amalan tahunan tetapi menawarkan perkhidmatan perubatan, mereka boleh dikenakan tindakan atas kesalahan itu.

“Malah sekiranya mereka mengedarkan ubat-ubatan yang bukan daripada doktor dan ahli farmasi, tindakan juga boleh diambil di bawah Akta Jualan Dadah yang boleh dikenakan denda sebanyak RM25,000 atau tiga tahun penjara,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas merasmikan sukan tahunan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Gunung Rapat di sini hari ini.

Boon Chye mengulas laporan akhbar berbahasa Inggeris semalam berhubung isu klinik dan farmasi haram dikesan beroperasi di ibu negara yang dikendalikan oleh pengamal perubatan warga Bangladesh.-UTUSAN ONLINE