Ketua Pesuruhjayanya, Datuk Dzulkifli Ahmad berkata, ini bukan kali pertama DoJ bertindak sedemikian kerana pada saman sivil yang pertama, mereka juga tidak merujuk apa-apa maklumat daripada SPRM.

“Sama seperti sebelum ini, DoJ tidak maklumkan kepada SPRM. Saya juga difahamkan bukan sahaja SPRM, malah DoJ tidak maklum kepada pihak polis begitu juga Jabatan Peguam Negara.

“Ini bukan kali pertama. Sudah dua kali mereka berbuat sedemikian walaupun Jabatan Peguam Negara sebelum ini pernah menyatakan rasa tidak puas hati terhadap DoJ kerana mengeluarkan saman sivil tanpa memberi­tahu terlebih dahulu,” katanya dalam sidang akhbar selepas pelancaran program Sahabat SPRM di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengarah Eksekutif Berjaya Corporation Berhad, Datuk Zurainah Musa.

Dzulkifli menambah, siasatan berhubung dakwaan wujudnya penyalahgunaan dana 1MDB masih dijalankan di bawah kelolaan pihak polis dan beliau berharap semua pihak bersabar serta memberi peluang kepada pihak berwajib menjalankan tugas sebaik mungkin.

Mengulas mengenai pelancaran program Sahabat SPRM, Dzulkifli berkata, masyarakat perlu memainkan peranan sebagai mata dan telinga SPRM bagi membolehkan matlamat untuk mencapai negara bebas rasuah menjelang tahun 2020 tercapai.

Jelasnya, masyarakat tidak perlu takut untuk menjadi pemberi maklumat kerana keselamatan serta maklumat tentang diri mereka sentiasa terjamin mengikut perundangan sedia ada.

“Rakyat tidak harus berasa gerun terhadap kami kerana pendekatan SPRM adalah mahu mesra dengan rakyat tetapi digeruni perasuah. Kami mahu melahirkan rakyat yang berani katakan tidak kepada rasuah dan pera­suah,” katanya.

Mengulas mengenai penyelewengan kuota bumiputera di Pulau Pinang sehingga mengakibatkan individu bergelar Datuk ditahan dan berkemungkinan lebih ramai pemaju hartanah ditahan, Dzulkifli memaklumkan siasatan masih di peringkat awal di mana saksi-saksi yang telah dikenal pasti sedang disiasat tentang sejauh mana keterlibatan mereka dalam aktiviti tersebut.