Ketua Pemuda Gerakan, Tan Keng Liang berkata, jabatan kehakiman negara itu harus bertindak secara bertanggungjawab dengan melakukan demikian bagi mendapatkan kepastian dalam isu tersebut.

“Jika keadaan ini berlarutan, dikhuatiri akan memburukkan nama baik Malaysia. Malah, ia tidak adil untuk negara kita,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai tindakan DoJ Amerika Syarikat baru-baru ini yang memfailkan saman sivil berkaitan 1MDB tanpa meminta kerjasama kerajaan Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan 1MDB sendiri sekali gus menimbulkan pelbagai keraguan dan kekeliruan dalam kalangan rakyat di negara ini.

Semalam, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien turut menuntut jabatan kehakiman negara itu mengemukakan bukti bagi menyokong dakwaan mereka mengenai 1MDB.

Ketua Pemuda MCA, Senator Datuk Chong Sin Woon pula berpandangan, perbuatan DOJ itu dilihat seolah-olah mempunyai muslihat tertentu walaupun kerajaan Malaysia telah menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan negara tersebut.

“Namun apa yang dilakukan oleh DOJ sehingga mengeluarkan kenyataan tanpa menyiasat dan meminta penjelasan daripada Malaysia menunjukkan macam ada muslihat,” katanya.

Dalam pada itu, Bendahari Agung MIC, Datuk Seri S. Vell Paari pula menyifatkan tindakan jabatan kehakiman negara itu yang secara berterusan membuat begitu banyak dakwaan tanpa bukti dalam kes saman sivil untuk mendapatkan aset-aset tertentu daripada 1MDB, dilihat amat menghairankan.

Bekas Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang pula berkata, dalam frasa perundangan, apabila sesuatu saman sivil itu melibatkan dua negara, ia perlu disiasat sepenuhnya sebelum dijadikan kes, namun harus terlebih dahulu dipertimbangkan oleh pihak Peguam Negara jika kes berkenaan benar-benar wujud.

Menurut beliau, mengikut proses undang-undang yang diterima pakai seluruh dunia, pendakwaan hanya boleh diadakan jika wujud satu-satu kes, apatah lagi pihak yang didakwa atau yang dituduh berhak untuk membela diri, manakala kes tersebut mestilah didengari sebelum seseorang itu dituduh dan sebagainya.

“Namun, saya dapati DoJ hanya membuat spekulasi, menerima laporan daripada sumber yang tidak jelas. Mereka tidak boleh buat begitu sebaliknya mesti mendapatkan kerjasama daripada kerajaan negara ini, mereka wajar berunding dengan Peguam Negara kita supaya ada ketelusan.

“Jika satu pihak sahaja dan hanya berasaskan spekulasi dan didapati daripada sumber tidak jelas, diragui dan berat sebelah, ini tidak patut,” katanya.