Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Munir Mohd. Nawi berkata, kewujudan Pasar Akuakultur tersebut dijangka mampu untuk memberikan tawaran menarik kepada pengunjung khususnya kepada penggemar ikan air tawar.

“Pasar Akuakultur ini merupakan julung kalinya diadakan oleh pihak DOF. Sebelum ini kami juga telah melakukan program jualan ikan segar di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) dan sambutan yang diterima amat menggalakkan dari orang ramai.

“Dalam masa terdekat ini, DOF sedang dalam perancangan untuk meluaskan lagi lokasi program ini di kawasan-kawasan lain pada masa akan datang, dan memastikan bekalan bahan mentah yang hendak dijual mencukupi,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melakukan tinjauan Pasar Akuakultur di Laman Perikanan di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Datuk Dr. Bah Piyan Tan dan Pengarah Perikanan Selangor, Azlisha Abd. Aziz.

Mengulas lanjut, Munir berkata, harga yang ditawarkan di pasar tersebut jauh lebih murah daripada tempat-tempat lain misalnya stok kerang segar sebanyak 500 kilogram boleh didapati dengan penjimatan harga sebanyak 40 peratus dari harga pasaran.-UTUSAN ONLINE