Anak tunggal kepada pasa­ngan Halifi Saman dan Lamiyah Hazari mendedikasikan kejayaan tersebut kepada kedua-dua ibu bapanya.

“Saya berterima kasih kepada keluarga yang sentiasa memberi semangat dan galakkan untuk berjaya. Tanpa usaha mereka yang telah bersusah payah memberi pendidikan yang sempurna, tidak mungkin saya mendapat kejayaan ini.

“Selain itu, kejayaan saya turut dibantu oleh pensyarah yang sentiasa memberi tunjuk ajar serta rakan-rakan yang tidak lokek untuk berkongsi ilmu,” katanya yang dianugerahkan Pelajar Terbaik bagi Diploma Teknologi Maklumat Perniagaan dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.42.

Majlis Konvokesyen Ke-12 Kolej Antarabangsa YPC semalam dirasmikan oleh Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Dr. Roziah Omar.

Yang turut hadir Pengerusi Kolej YPC, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee dan Pengetua Kolej YPC, Datuk Dr. Noel Robert.

Sementara itu, Teo Fu Kiat, 22, yang juga penerima Anugerah Pelajar Terbaik bagi Diploma Pengurusan Perniagaan dengan PNGK 3.70 menganggap perbincangan secara berkumpulan ba­nyak membantu untuk memahami sesuatu mata pelajaran.

“Jika tidak faham, saya boleh terus bertanya kepada rakan-rakan. Apabila ada rakan yang tidak faham, saya pula akan menerangkan kepada mereka sekali gus dapat meningkatkan kefahaman saya dalam subjek berkenaan,” katanya yang sudah bekerja sebagai pembantu perakaunan di sebuah syarikat swasta.

Dalam majlis tersebut, seramai 423 graduan menerima ijazah sarjana muda dan diploma masing-masing dalam pelbagai jurusan.