Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bagi negara-negara maju, jumlah pekerjaan baharu yang wujud menerusi ekonomi digital begitu tinggi.

“DNA23 bukannya agenda masa depan tetapi rancangan untuk masa kini yang perlu dilakukan segera akibat tekanan keperluan mendesak industri ekonomi digital.

“Langkah ini perlu dilakukan bagi memastikan permasalahan seperti kemiskinan dapat diatasi dan mengelakkan jurang antara kaya dan miskin daripada terus melebar,” katanya ketika menyampaikan syarahan perdana DNA23 Ke Arah Negara Rahmah: Cabaran dan Peluang Untuk Malaysia dan Pahang di Universiti Malaysia Pahang (UMP) di sini hari ini.

Yang hadir sama Naib Canselor UMP, Prof. Datuk Seri Dr. Daing Nasir Ibrahim.

DNA23 mengupas isu digital dalam masa yang sama bertujuan memperkasakan pihak berkepentingan dalam landskap digital negara.

Tiga teras utama dalam DNA23, iaitu kemakmuran dan kebahagiaan, persediaan masa depan serta etika dan budaya. - UTUSAN ONLINE