Menteri Industri Utama, Teresa Kok berkata, Malaysia juga merancang bekerjasama dengan Indonesia sekiranya masalah berkenaan semakin teruk dan menjejaskan ekonomi negara.

“Malaysia juga telah menyuarakan rasa tidak puas hati kepada Duta Besar Norway berhubung tindakan negara itu yang menghentikan penggunaan biofuel berasaskan kelapa sawit.

“Kita berharap Norway akan menarik balik keputusan tersebut, sama juga seperti negara lain dan contohnya ialah Perancis,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Parlimen Norway baru-baru ini mengeluarkan arahan untuk mengehadkan dan menghentikan penggunaan minyak sawit secara berperingkat berkuat kuasa pada 1 Januari 2020.

Sementara itu, Teresa berharap harga minyak sawit mentah negara didagangkan pada jajaran antara RM2,700 hingga RM2,800 satu tan pada tahun ini.

“Saya juga yakin, menjelang Tahun Baharu Cina nanti lebih banyak minyak sawit akan digunakan,” katanya.

Dalam pada itu katanya, tindakan India yang mengurangkan cukai import ke atas minyak sawit mentah susulan permintaan daripada pembekal juga akan menyumbang kepada peningkatan.