Tanpa memberikan butiran, Timbalan Menterinya Hannah Yeoh berkata, kini hanya terdapat 10 peratus sahaja taska yang berdaftar di bawah kementerian manakala 90 peratus lagi taska tidak berdaftar.

"Kementerian akan mula berbincang dengan syarikat-syarikat utiliti untuk mendapatkan diskaun ataupun menurunkan kos elektrik* Kalau mereka (taska) berdaftar dengan kita mungkin pihak utiliti akan membantu mengurangkan kos.

"Kalau kita bagi utiliti seperti ini, ia akan menggalakkan taska berdaftar, katanya pada Majlis Graduasi Tabika Kemas Parlimen Segambut bagi Sesi 2018 di Dewan Tan Sri Abu Zahar Menara Lembaga Pertubuhan Peladang di sini hari ini.

Ahli Parlimen Segambut itu juga berkata selalunya taska tidak dapat berdaftar kerana mereka tidak dapat memenuhi garis panduan yang ditetapkan oleh kerajaan.

"Garis panduan ini merangkumi kelulusan daripada Kementerian Kesihatan, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan (Jabatan) Bomba (dan Penyelamat), selalunya mereka tersekat pada (peringkat) PBT di mana mereka tidak mendapat kebenaran jiran rumah sebelah. Apabila mereka tidak dapat peringkat kelulusan PBT dan mereka (taska) tidak dapat tutup taska mereka kerana ibu bapa perlu penjagaan kanak-kanak dan ibu bapa juga tidak melaporkan pihak berkuasa kerana mereka perlu menghantar anak ke taska. Bila permintaan dan penawaran ada dan kedua-dua pihak senyap masalah terbesar kita kekurangan sistem ini.

"Jadi apa yang kita usahakan sekarang adalah untuk membantu mendorong pendaftaran melalui kita. Kementerian nak bagi utiliti atau faedah kepada yang berdaftar," katanya.

Dalam pada itu, Hannah berkata, kementerian dalam usaha untuk memperketatkan saringan pengasuh dan orang yang menjaga kanak-kanak.
Beliau berkata, kementerian sedang berbincang dengan pihak mahkamah, polis dan penjara untuk mewujudkan satu 'checking-system' di mana kita (kementerian) boleh semak di mana pengasuh ataupun cikgu ataupun pemandu van yang menghantar kanak-kanak balik ke rumah sama ada semua orang yang terlibat mempunyai rekod jenayah.

"Sekarang kita sedang bina sistem ini. Kita berharap tahun hadapan ia akan habis dan dilaksanakan di seluruh negara. Pendirian kerajaan baru, kita akan memperketatkan perlindungan kanak-kanak sebagai agenda utama. Kalau ada kes yang melibatkan keselamatan kanak-kanak kerajaan baharu akan mengambil tindakan," katanya. - BERNAMA