Menteri Kesihatan,Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata,kementerian sedia mempertimbangkan kadar diskaun itu bagi memastikan semua kanak-kanak di negara ini mendapat imunisasi.

Katanya, kadar bayaran bagi kanak-kanak tanpa dokumen dan tanpa warganegara sebenarnya adalah RM80 iaitu RM 40 untuk pendaftaran, perundingan dan ubatan (untuk lima hari) serta bakinya adalah untuk caj vaksin.

“Memandangkan Malaysia belum ratifikasi atau mengiktiraf mereka sebagai pelarian, mereka adalah pendatang asing tanpa izin (PATI) dari segi status. Mereka perlu bayar penuh. Jadi kita mempunyai belas ihsan untuk memberi diskaun sebanyak 50 peratus.

“Adakah kami dapat merubah pendirian ini pada masa akan datang? Kami amat memandang serius terhadap perkara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi pertanyaan-pertanyaan menteri dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen, Ma’mun Sulaiman (PH-Kalabakan) yang ingin tahu mekanisme kerajaan dalam memastikan pemegang UNHCR mampu membayar bayaran vaksin yang diperlukan.

Berdasarkan Pelaksanaan Caj Fi Perkhidmatan Kesihatan Kanak-kanak di bawah Perintah Fi (Perubatan) (Kos Perkhidmatan) 2014, kanak-kanak yang gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri sebagai warganegara akan dikenakan bayaran perkhidmatan imunisasi.

Caj yang dikenakan kepada kanak-kanak yang tiada dokumen adalah sebanyak RM40 untuk pendaftaran, perundingan dan ubatan (untuk lima hari) dan tambahan RM40 untuk imunisasi. -UTUSAN ONLINE