Irmohizam Ibrahim

Pengerusinya, Datuk Irmohizam Ibrahim berkata, ikan segar tidak dikenakan GST dan golongan peniaga tidak seharusnya menggunakan alasan tersebut bagi menaikkan harga lebih tinggi sehingga niat murni kerajaan membantu rakyat disalahgunakan.

“Dalam hal ini, persatuan nelayan dan masyarakat perlu tampil membuat laporan kepada Kementerian Perdagangan, Koperasi dan Kepenggunaan untuk diambil tindakan.

“LKIM akan bekerjasama de­ngan Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) untuk memantau harga ikan agar dijual pada harga ditetapkan,” katanya selepas majlis penyampaian elaun sara hidup kepada nelayan di Kampung Pasir Gudang Baru, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Normala Abdul Samad dan Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) LKIM, Sa’dom Abd. Wahab.

Pada majlis tersebut, sebanyak 305 nelayan dari 20 kampung di kawasan Parlimen Pasir Gudang menerima elaun sara hidup RM300 yang mula diagihkan serentak di seluruh negara hari ini.

Irmohizam yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor berkata, beliau menerima laporan secara terus berhubung kenaikan harga ikan di pasar dan menyifatkannya sebagai perkara serius kerana LKIM tidak mahu rakyat menjadi mangsa sehingga akhirnya membenci dasar yang dilaksana kerajaan.

“Buat masa ini, belum ada lagi peniaga yang disenarai hitam. Tindakan berkenaan akan dikenakan sebagai langkah pencegahan supaya para peniaga tidak menjual ikan segar pada harga yang tinggi,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan pembinaan tiga pasar nelayan di negeri ini pada tahun ini termasuk di Kampung Pasir Gudang Baru bagi memasarkan ikan segar secara terus kepada pengguna, sekali gus meningkatkan pendapatan nelayan.

Katanya, sebanyak 50 pasar nelayan akan dibina pada tahun ini di seluruh negara dengan kos RM200,000 setiap satu.