Sehubungan itu, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani yang memandang serius perkara itu memberi amaran mana-mana pesawah yang mengusahakan benih padi tidak diiktiraf oleh kerajaan tidak akan diberikan bantuan subsidi atau insentif.

Setiausaha Bahagian Industri Padi dan Beras Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Shamsuddin Ismail berkata, padi Black Madras itu akan dituai dalam masa 10 hari lagi dan pemiliknya telah dinasihatkan supaya tidak menjual padi tersebut kepada mana-mana pembeli yang berminat.

“Walaupun benih padi ini tidak diiktiraf kerana boleh membawa penyakit berbahaya serta boleh memberi ancaman kepada benih padi tempatan, pemantauan berterusan perlu dijalankan.

“Pemeriksaan sentiasa dibuat oleh Pegawai Pertanian Perlis, Institut Kemajuan dan Penyelidikan Pertanian (MARDI) negeri, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) dan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) sejak Disember tahun lalu ke kawasan tersebut bagi memantau dan menganalisis padi ini,” katanya dalam kenya­taan di sini hari ini.

Semalam, Jabatan Pertanian Negeri Perlis membongkar ke­giatan penanaman padi Black Mad­ras, sejenis padi asing berwarna hitam yang dikatakan dari Korea, yang ditanam secara ha­ram di Perlis.

Menurut Shamsuddin, pihak­nya juga mendapati padi Black Madras itu ditanam bagi tujuan kegunaan sendiri dan bukan untuk tujuan komersial.

Dalam pada itu, katanya, kementerian berharap agar petani lain dapat menggunakan benih padi sah serta dikeluarkan oleh pengeluar yang sah supaya tidak berlakunya kerugian dan penya­kit tanaman lain.

“Penggunaan benih padi yang tidak diiktiraf oleh pihak MARDI tidak digalakkan dan boleh menyebabkan kekurangan hasil, penyakit mudah merebak serta merugikan pesawah sendiri dan juga negara,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Maqis, Datuk Mokhtaruddin Husain dalam kenyataan berkata, Maqis telah mempertingkatkan penguatkuasaan di semua pintu masuk di mana kawalan ketat dibuat terhadap sebarang kema­sukan produk pertanian (haiwan, tumbuhan dan ikan) ke dalam negara bagi mengelakkan perkara yang sama berulang.

“Sekiranya terdapat kemasukan produk dan hasil tumbuhan tanpa permit yang sah (benih padi) tindakan undang-undang akan dikenakan,” katanya.