Mustafar Ali

Berdasarkan statistik yang dikeluarkan Jabatan Imigresen, sebanyak 800,844 individu daripada 910,366 yang disenarai hitam dikategorikan sebagai peminjam, lari cukai dan bankrap.

Ini kerana daripada jumlah itu, peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional ­(PTPTN) merekodkan jumlah tertinggi yang disekat ke luar negara iaitu 456,348 orang diikuti kes-kes Lembaga Hasil Dalam Negeri (141,348) dan Jabatan Insolvensi (203,196).

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, peminjam PTPTN yang tidak membayar semula pinjaman merupakan golongan terbesar yang dikenakan sekatan perjalanan ke luar negara.

“Jumlah tersebut dikeluarkan agensi berkenaan dan kita hanya mentadbir sahaja.

“Selain agensi berkenaan, terdapat 17 lagi agensi yang me­minta kita melakukan sekatan dan senarai hitam individu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut Mustafar, jabatan yang diterajuinya juga turut menyenarai hitam 2,177 individu yang disebabkan beberapa faktor.

Ujar beliau, antara agensi lain yang turut menyenarai hitam individu adalah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Jabatan Pendaftaran, Bank Negara dan Jabatan Kehakiman.

Bagaimanapun katanya, bila­ngan yang direkodkan agensi-agensi berkenaan tidak banyak seperti yang dicatatkan agensi pemberi pinjaman dan berkaitan percukaian.