Ini selepas jaminan diberikan bahawa dana dimohon itu akan disalurkan kepada semua pe­minjam selewat-lewatnya hujung bulan ini setelah Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari sendiri campur tangan ekoran pendedahan Utusan Malaysia sejak kelmarin.

Pengerusi Eksekutif Yayasan Hijrah Selangor, Datuk Mansor Othman berkata, kerajaan negeri maklum mengenai perkara yang dibangkitkan peminjam dan mengarahkan Yayasan Hijrah Selangor menangani isu berbangkit dengan secepat mungkin.

“Justeru, sukacita dimaklumkan bahawa pengeluaran bayaran pembiayaan bagi permohonan yang tertangguh akan diselesaikan selewat-lewatnya pada penghujung Januari 2019,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Utusan Malaysia sejak kelmarin membangkitkan persoalan apa sudah jadi dengan Hijrah Selangor apabila peminjam yang permohonan mereka sudah diluluskan sejak beberapa bulan lalu masih belum menerima dana dengan masalah itu dikesan bermula selepas pilihan raya umum lalu.

Semalam pula, 107 usahawan kecil menyerahkan memorandum kepada Kerajaan Negeri Selangor menuntut perkara tersebut diselesaikan segera kerana masalah berkenaan meresahkan mereka.

Dalam pada itu, Mansor menjelaskan, kerajaan negeri melalui pelaksanaan mikrokredit yang dilaksanakan Hijrah Selangor komited dalam pembangunan usahawan di negeri ini, terutama dalam membantu peniaga kecil mencapai objektif melebarkan sayap ke kelas menengah.

“Dalam Belanjawan 2019, kerajaan negeri telah memperuntukkan sejumlah RM25 juta bagi kesinambungan perlaksanaan program mikrokredit Hijrah Selangor,” jelasnya.