Beliau berkata, adalah penting untuk setiap pengusaha tahfiz untuk mengikut prosedur yang betul kerana ia juga dituntut oleh syarak.


Malahan katanya, orang Islam yang lain juga boleh turut sama menginfakkan harta mereka dalam membangunkan institusi tahfiz di negara ini.


“Memang dari segi syarak sebenarnya sepatutnya tiada orang susah kerana banyak ayat-ayat suci al-Quran menyuruh kita supaya memberi sumbangan. Harta dari segi fahaman Islam hanyalah pinjaman.


“Jadi apabila pinjaman, tidak perlu kita bayar hutang kepada Tuhan, sebaliknya dengan membelanjakannya pada jalan Allah,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Persidangan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) Ke-200 di Kompleks Islam Darul Ridzuan di sini hari ini.


Beliau mengulas mengenai insiden kebakaran yang mengorbankan sejumlah 23 individu dalam kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Kampung Datok Keramat, Kuala Lumpur, baru-baru ini.


Dalam pada itu, Harussani berkata, mereka yang meninggal dunia ketika bersalin, menuntut ilmu atau ketika berusaha mencari nafkah, ia dipanggil sebagai syahid akhirat.


“Syahid akhirat ini bermakna ia mendapat pahala yang besar di sisi Allah tetapi dia diuruskan seperti jenazah biasa iaitu dia dimandikan, dikafankan, disembahyangkan serta dikebumikan.


“Jadi yang meninggal dunia melibatkan maahad tahfiz baru-baru ini, mereka mati dalam menuntut ilmu. Oleh itu, mereka dianggap mati syahid akhirat jika benar-benar ikhlas menuntut ilmu,” katanya. - UTUSAN ONLINE