Arham Muchtar Achmad Bahar menunjukkan struktur batu yang diambil di Taman Negara Kuala Koh, Gua Musang, semalam.

Itu penemuan yang diperoleh pasukan penyelidik Fakulti Sains Bumi (FSB), Universiti Malaysia Kelantan (UMK) yang menjalankan kajian di kawasan tersebut.

Walau bagaimanapun, sehingga kini pasukan itu masih belum me­ne­mukan sebarang fosil dinasaur.

Ketua Jabatan Geobumi UMK, Arham Muchtar Achmad Bahar berkata, hasil kajian pihaknya mendapati struktur batu di kawasan itu sama seperti di sekitar Sungai Cicir, Gunung Gagau dan Tasik Kenyir di Terengganu yang pernah menjadi tempat penemuan fosil dinosaur.

Menurutnya, pihaknya tidak menolak kemungkinan akan menemukan spesies Theropod dan Sauropod selepas mengadakan perbincangan dengan pasukan penyelidik.

"Satu pasukan penyelidik sebelum ini pernah menemukan fosil seperti gigi dan tapak kaki dinosaur jenis itu di Sungai Cicir, Kuala Berang yang terletak kira-kira 60 kilometer dari kawasan ini.

"Kita akan meneruskan kajian di Taman Negara dan kawasan sekitar hutan di Gua Musang bagi membuktikan kewujudan itu," katanya di sini, hari ini.

Pada 13 sehingga 23 Oktober 2014, sekumpulan penyelidik yang menjalankan Ekspedisi Gagau - Menjejak Dinosaur telah menemukan fosil haiwan purba tersebut di Sungai Cicir, Tasik Kenyir.

Ekspedisi yang dilaksanakan oleh Jabatan Mine­ral dan Geosains (JMG) dan Kumpulan Warisan Geologi Malaysia (KWGM) tersebut menemukan fosil gigi, kesan tapak kaki dan tulang dinosaur spesies Theropod, Iguanodontid dan Sauropod.

Pasukan penyelidik tersebut dianggotai pensyarah dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Malaya (UM), Universiti Teknologi Petronas (UTP) dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dengan kerjasama Jabatan Perhilitan Terengganu dan Lembaga Kemajuan Terengganu Te­ngah (Ketengah).

Arham Muchtar berkata, penyelidikan lebih teliti yang melibatkan pelbagai pihak seperti JMG serta Jabatan Perhutanan harus dilakukan bagi membuktikan kewujudan haiwan purba tersebut.

Justeru, kata beliau, semua pihak perlu menggembleng tenaga untuk menjalankan penyelidikan tersebut kerana sejarah baharu akan tercatat sekiranya fosil dinosaur tersebut ditemukan di Taman Negara Kuala Koh.

"Kawasan ini akan menjadi tumpuan dunia sekiranya fosil tersebut ditemukan," katanya.