Kini, selepas 59 tahun, Felda yang menjadi model kepada tanah rancangan lain di seluruh negara telah diwarisi hingga generasi kelima.

Namun, masa depan generasi baharu di Felda tersebut samar untuk mewarisi dan meneruskan kehidupan di tanah ranca­ngan itu.

Ketua Peneroka Felda Lurah Bilut, Md. Zulkifle Md. Yunos berkata, pada masa ini, generasi baharu Felda berkenaan tidak boleh lagi meletakkan harapan dan masa depan mereka kepada tanah rancangan berkenaan.

Katanya, harga komoditi yang rendah menyebabkan pendapatan diterima generasi baharu juga rendah rendah apatah lagi apabila dibahagikan dengan adik-beradik yang lain.

Selain itu, kata­nya, satu lagi perkara yang menjadi dilema generasi baharu adalah mereka tidak dapat membuat pinjaman bank termasuk untuk membeli rumah kerana tiada slip gaji yang hanya dinamakan kepada gene­rasi pertama atau ditukar kepada pentadbir selepas kematian generasi pertama.

“Katalah mereka mempunyai lapan adik-beradik, maka terpaksa dibahagi hasil berkenaan yang pastinya tidak cukup untuk menyara kehidupan menyebabkan mereka terpaksa mencari kerja lain dan berhijrah.

“Generasi kedua dan sete­rusnya di Felda pada masa ini tidak boleh lagi mewarisi kejayaan generasi pertama dan mereka mesti memfokuskan kepada sektor lain seperti keusahawanan dan pelancongan yang perlu mendapat sokongan kerajaan,” katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

Menurut Md. Zulkifle, meskipun Felda Lurah Bilut mempunyai prasarana lengkap selepas ditransformasikan sebagai Lembah Digital, pelbagai kekangan menyebabkan usaha melonjakkan pembangunan usa­hawan dan pelancongan di situ tidak berkembang.

“Pembinaan lebuh raya Central Spine Road (CSR) yang dilakukan tanpa membuat laluan keluar ke Felda ini pula dilihat akan membantutkan pemba­ngunan yang dirancang di kawasan ini khususnya dalam perniagaan dan pelancongan,” katanya.