Kumpulan pertama 19 pelajar tersebut tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pukul 3.51 petang semalam, manakala baki 85 lagi tiba hari ini melalui tiga penerbangan berasingan iaitu pada 7.35 pagi, 10.30 pagi dan 3 petang.

Ketibaan pelajar yang sebelum ini menuntut di pusat yang terletak kira-kira 60 kilometer (km) dari Cairo itu disambut ibu bapa masing-masing di balai ketibaan KLIA.

Bapa salah seorang pelajar, Mohd. Yusof Abdullah, 40, berkata, semua pelajar yang dihantar pulang itu sebenarnya telah membuat permohonan memperbaharui visa, namun prosesnya mengambil masa yang lama ekoran sistem baharu yang diguna pakai.

Sehubungan itu, dia berharap perkara tersebut dapat diselesaikan segera bagi membolehkan semua pelajar terlibat kembali ke sana untuk menamatkan pengajian masing-masing.

“Kaedah pengajaran hafazan dan ilmu al-Quran yang lebih berkesan serta tersusun mendorong ibu bapa memilih Mesir sebagai destinasi untuk menghantar anak mereka menimba ilmu, termasuk saya.

“Saya difahamkan, insiden ini kali pertama berlaku sejak pusat itu ditubuhkan pada 1999,” katanya ketika ditemui pemberita di KLIA di sini.

Menurut Mohd. Yusof, pusat tersebut yang diasaskan oleh rakyat Malaysia dan hanya menerima pelajar dari negara ini menawarkan suasana dan kaedah pengajaran berkesan sehingga pelajar mampu menghafal al-Quran dalam tempoh singkat.

Seorang pelajar, Faris Isma Mohd. Yusof, 20, memberitahu, dia menaruh harapan yang tinggi untuk kembali semula ke Mesir bagi menamatkan pengajiannya.

Mengimbas pengalaman ditahan polis, dia menjelaskan, semasa pihak berkuasa melakukan pemeriksaan, kebanyakan pelajar sedang mengaji al-Quran dan tiada kekerasan berlaku.

“Saya datang ke Mesir pada penghujung 2014 dan ini kali pertama saya balik ke Malaysia. Kami dipantau oleh tenaga pengajar terkemuka yang terdiri daripada guru-guru agama di negara tersebut,” katanya yang telah menghafal 28 juzuk al-Quran.

Seorang lagi pelajar, Afiz Syakirin Mohd. Afizaini, 12, berkata, ketika polis membuat pemeriksaan, dia dan abangnya, Wijdan Syukran, 15, baru selesai menunaikan solat zuhur.

“Hanya saya yang ditahan kerana visa telah tamat tempoh manakala Wijdan Syukran dibebaskan berikutan visanya masih sah. Ketika itu kami berpelukan dan menangis kerana tidak mahu berpisah. Saya kemudiannya dibawa ke sebuah pusat latihan polis di Zagazig.