Menurut Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) itu, cadangan berkenaan adalah selaras dengan kebimbangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap ke­giatan rasuah yang berada pada tahap membimbangkan ketika ini.

Lam Thye berkata, golo­ngan muda khususnya pelajar sekolah perlu dididik membenci rasuah sebagaimana usa­ha kerajaan mendidik mereka membenci dadah.

“Pendidikan anti rasuah perlu dimasukkan dalam buku teks untuk subjek pendidikan agama dan moral bermula dengan pelajar tahun lima. Langkah ini dapat membantu melahirkan generasi muda yang membenci dan menolak ra­suah dalam semua bentuk.

“Melentur buluh biarlah daripada rebungnya. Apabila mereka meninggalkan sekolah dan universiti untuk masuk ke alam pekerjaan, mereka akan mempunyai kesedaran untuk tidak terlibat dengan ra­suah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Lam Thye berkata, kajian yang dijalankan SPRM terhadap 1,000 mahasiswa mendapati 16 peratus daripada mereka sanggup menerima rasuah manakala 18.5 peratus lagi akan menerimanya sekiranya tidak dikenakan sebarang tindakan.

Tambah beliau, tinjauan Institut Integriti Malaysia (IIM) mendedahkan seorang daripada tiga mahasiswa berpendapat menerima hadiah dalam bentuk wang, barangan atau perkhidmatan untuk khidmat yang diberikan bukan dianggap ra­suah.

“Dalam tinjauan IIM, 28.1 peratus responden berpendapat tidak salah untuk mengambil harta atau barangan milik syarikat, pemacu pena, dakwat me­sin pencetak dan kertas untuk kegunaan peribadi.

“Pada masa sama, 37.3 peratus daripada responden meng­anggap mengemukakan tuntutan untuk tugas luar yang ditaja sepenuhnya juga bukan satu kesalahan,” katanya.

Lam Thye menambah, berdasarkan kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Shukri Abdull menunjukkan kedudukan Malaysia turun tujuh anak tangga kepada posisi ke-62 daripada 180 negara mengikut Indeks Persepsi Ra­suah (CPI).