Seri Paduka bertitah, sokongan dan kerjasama yang dijalin akan meneruskan kesinambungan universiti ke arah menjana modal insan pemimpin masa depan yang bertamadun untuk memakmurkan negara.

“UiTM hendaklah memanfaatkan sumber, kepakaran dan pengalaman yang ada dalam pelbagai bidang dan disiplin untuk meng­optimumkan keupayaan ma­sing-masing demi kepenti­ngan masa depan negara,” titah Seri Paduka.

Sultan Muhammad V bertitah demikian ketika menyempurnakan sidang pertama Istiadat Konvoke­syen Ke-86 UiTM di sini hari ini.

Seramai 500 graduan menerima Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dan Ijazah Sarjana dalam istiadat konvokesyen itu.

Pada istiadat konvokesyen itu juga, Seri Paduka dimasyhurkan sebagai Canselor UiTM Ke-5.

Pada istiadat sama, Sultan Muhammad V turut berkenan meng­anugerahkan watikah pelantikan Pro Canselor UiTM yang baharu kepada bekas Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti, Tan Sri Zarinah Anwar.

Seri Paduka dalam pada itu menzahirkan ucapan tahniah kepada 28,618 graduan yang menerima sijil masing-masing di peringkat PhD, Sarjana, Ijazah Sarjana Muda dan Diploma.

Tuanku Canselor mengingatkan graduan supaya menjadi insan bersyukur dan sentiasa me­ngenang jasa ibu bapa, universiti serta pemimpin negara.

“Beta berharap graduan sebagai golongan intelek dapat memainkan peranan secara positif ke arah menjadikan masyarakat maju dari segi pemikiran, tindakan dan pencapaian serta terus mengamalkan nilai-nilai murni,” titah Seri Paduka.

Sementara itu, Naib Canselor UiTM, Profesor Emeritus Dr. Hassan Said berkata, alumni UiTM diingatkan supaya kembali ke universiti untuk menabur bakti dan menyumbang kepada kelangsu­ngan institusi itu.

Seramai 11,431 graduan mene­rima penganugerahan di kampus induk UiTM di sini pada istiadat yang berlangsung selama enam hari bermula hari ini. – BERNAMA