Komitmen itu sekali gus membuktikan kesungguhan kerajaan dalam memerangi masalah dadah yang semakin membarah sehinggakan beberapa negeri di Semenanjung kini bertukar menjadi ‘negeri pengeluar’ dadah, bukan lagi setakat sebagai transit sebagaimana sebelum ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, apabila diluluskan Ka­binet kelak, pelan strategik tersebut akan dijadikan Dasar Dadah Kebangsaan yang baharu, bagi memastikan keberkesanan memerangi dadah benar-benar mencapai objektif ditetapkan kerajaan.

Katanya, sehingga kini beberapa sesi perbincangan dengan kementerian antaranya Kementerian Kesihatan, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berkaitan sudah pun dijayakan.

“Pelan strategik berkenaan sudah sampai ke peringkat draf akhir, saya sendiri telah meneli­tinya bersama-sama Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) yang baharu dan sehingga kini kami sudah mengadakan beberapa sesi pertemuan dengan pihak berkaitan.

“Saya sendiri akan memberi taklimat khas kepada Ahli Parlimen pada sidang Dewan Rakyat Oktober ini supaya semua pihak dapat memberikan input sete­rus­nya menerima pakai draf (bakal) Dasar Dadah Kebangsaan ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Tahunan Parti Makkal Sakti di sini hari ini.

Yang turut hadir Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Presiden Makkal Sakti, Datuk R.S. Thanenthiran.

Utusan Malaysia bermula 15 Mei lalu membuat pendedahan bersiri mengenai bahana lambakan dadah dengan dimulakan laporan berhubung ancaman Pil Kuda di Kelantan, Terengganu dan Pahang sehingga negeri yang mendapat jolokan serambi Mekah itu kini bertukar menjadi syurga Pil Kuda.

Pada 28 Mei pula, akhbar ini juga tampil mendedahkan mengenai aktiviti penanaman, penagihan, pengedaran serta penyeludupan Ketum di Kedah dan Perlis sehingga memburukkan lagi masalah berkaitan dadah di negara ini khususnya melibatkan orang Melayu.

Siri terakhir mengenai dadah dibuat pada 6 Jun apabila akhbar ini mendedahkan bagaimana Pulau Pinang bertukar menjadi ‘kilang’ syabu Malaysia selepas pada mulanya hanya dijadikan negeri ‘transit’ oleh sindiket pengedaran dadah tempatan dan antarabangsa.

Berikutan pendedahan itu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengumumkan mengenai Pelan Strategik Memerangi Dadah Kebangsaan selepas terlebih dahulu Ahmad Zahid memaklumkan mengenai pendekatan di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) bagi memerangi masalah tersebut.

Kepada soalan sejauh mana beliau berkeyakinan pelan strategik tersebut berupaya membersihkan Malaysia daripada dadah, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, kerajaan akan melakukan yang terbaik untuk memastikan sindiket-sindiket dadah dibanteras sepenuhnya.

“Pastinya kita tidak boleh terlalu yakin kerana sindiket ini bukan sahaja melibatkan Malaysia tetapi juga di peringkat antarabangsa dan negara lain juga menghada­pinya. Meskipun diakui ia tugas yang sukar tetapi kita yakin pihak berkuasa boleh melakukannya,” katanya.