Dalam masa sama, Diana bersetuju dengan cadangan adik iparnya, Fadzil Zahari yang suaminya perlu dirujuk dengan doktor bagi menjalani pemeriksaan kesihatan.

“Sebagai isteri, pastinya saya akan sentiasa berada di samping­nya dan memberi sokongan. Saya dan ahli keluarga yang lain akan berikhtiar sedaya upaya untuk kembali baik seperti biasa.

“Sekarang ini tak dinafikan kami semua berhadapan de­ngan tekanan tetapi atas soko­ngan semua pihak, alhamdulillah semuanya terkawal,” katanya kepada Utusan Malaysia melalui aplikasi mesej Whats­App di sini hari ini.

Diana yang juga pelakon filem Hanyut bagaimanapun, enggan berkongsi secara terpe­rinci mengenai perancangan dia dan keluarga sebaliknya, memohon semua pihak untuk memberi mereka ruang bagi melalui saat-saat yang sukar.

“Syukur, segalanya berjalan lancar dan kami akan menyelesaikannya secara peribadi. Te­rima kasih atas sokongan anda,” katanya.

Di Mahkamah Majistret Pe­taling Jaya semalam, Farid me­ngaku tidak bersalah atas empat pertuduhan iaitu dua tuduhan menyebabkan kecederaan selebihnya, berkelakuan tidak senonoh dan mengganggu penjawat awam di Balai Polis Trafik Kota Damansara pada 11 Januari lalu.

Ekoran itu, Farid yang juga pelakon filem Tombiruo ditahan reman selama lima hari bermula Jumaat lalu dan berakhir semalam bagi membantu siasatan.

Aktor yang juga bapa kepada dua cahaya mata Muhammad, 5, dan Nur Aurora, 3, itu dibebaskan dengan jaminan RM12,000 dan kes bakal disebut semula pada 5 Mac depan.

Sementara itu, adik-beradik Farid iaitu Fadzil Bahari dan Dr. Anis Anwar meminta kerjasama media agar memberi ruang kepada abang mereka untuk memberi fokus terhadap proses pemulihan dirinya.

Menurut Fadzil, 34, tindakan utama mereka selepas Farid bebas ialah membawanya ke hospital bagi mendapatkan pemeriksaan kesihatan susulan berkaitan fizikal dan emosi pelakon terbabit.

“Pada peringkat pertama, kami mahu Farid menjalankan pemeriksaan kesihatan. Biar doktor memantau keadaan fizikal dan emosinya. Daripada keputusan pemeriksaan tersebut barulah kami boleh tahu mana hala tuju kami seterusnya,” jelas Fadzil.

Sementara itu, Dr. Anis Anwar, 30, pula memohon jasa baik wartawan agar tidak terlalu memberi tekanan atau mendesak untuk bertemu Farid dalam tempoh terdekat kerana bimbang perkara lain yang tidak elok terjadi.

“Hanya satu perkara yang saya mahu minta, ketika proses pemulihan ini, saya berharap rakan-rakan media yang banyak menyokongnya selama ini dapat memberi Farid peluang secukupnya dalam menjalani rawatan.

“Kami risau jika dia berdepan desakan, nanti akan jadi perkara lain pula. Justeru kami sangat berharap agar kami sekeluarga diberi ruang,” ujarnya.