Penglibatan UNDP dalam program tahunan yang mendapat jolokan ‘The Davos Of Asia’ itu memboleh­kan segala idea yang lahir daripada persidangan tersebut dapat disampaikan terus kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Ketua Pegawai Eksekutif IDR, Dr. Mazalan Kamis berkata, pe­nyertaan UNDP dalam acara tersebut setelah merasakan impak yang terhasil daripada program itu yang bukan sahaja untuk kebaikan negeri ini malah dunia.

Ini kerana katanya, Dialog Pangkor yang turut mendapat kerjasama Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) itu adalah satu-satunya persida­ngan antarabangsa terbesar di luar Eropah yang membincangkan mengenai pembangunan mampan dan inklusif.

“UNDP sebenarnya telah mengikuti perkembangan kita dan kali ini mereka merasakan impak yang besar untuk dunia dan bukan sahaja di Perak. Oleh itu mereka datang untuk menjadi rakan strategik bagi Dialog Pangkor.

“Pada persidangan kali ini, antara yang dibincangkan adalah apa tujuan pembangunan, kenapa mahu membangun dan apakah perlu menebang pokok serta memusnahkan hutan atas nama pembangunan, selain berbincang apakah tujuan mengumpul kekayaan dan adakah kekayaan itu mampu memberikan kebahagiaan.

“Tahun ini kita lebih berani mempersoalkan kefahaman tentang perkara-perkara tersebut dimana ia juga sebenarnya sedang hebat dipersoalkan di peringkat global,” katanya di sini baru-baru ini.

Menurut beliau, dengan adakan Dialog Pangkor ini, ia bukan sahaja mendapatkan idea untuk pembangunan mampan yang berkesan untuk Malaysia tetapi lebih daripada itu.

“Di situlah pentingnya pe­ranan agensi antarabangsa seperti UNDP apabila buat kali pertamanya suara daripada Dialog Pangkor akan sampai ke PBB,” katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata, Dialog Pangkor yang bertemakan ‘Memacu Masa Hadapan: Landasan Inovatif Ke Arah Pembangunan Mapan’ itu akan menampilkan sembilan sub tema iaitu iaitu ekonomi, pembangunan insan, alam sekitar, inovasi dan keusahawanan, perumahan, belia, penuaan dan pembangunan, waqaf dan wanita.

Katanya, sebanyak 80 pembentang akan membentangkan kertas kerja mereka mengikut sub tema yang dipilih.

“Persidangan ini merupakan acara antarabangsa bagi menggalakkan pertukaran idea dan ilmu dalam pembangunan negara, serantau dan global dimana ia mengumpulkan pakar-pakar daripada pelbagai latar belakang.

“Ia melibatkan penglibatan pemimpin, ahli akademik, penyelidik, pembuat dasar, pemain industri dan pemikir dari seluruh dunia.

“Mereka akan hadir dan berkumpul untuk berkongsi idea dan membincangkan isu-isu ber­kaitan dengan pembangunan mampan,” ujarnya.