Kakaknya, Mariani Shuib, 49, berkata, kehilangan anak saudaranya itu, Mohd. Haziq sudah ma­suk ha­ri keempat dan seluruh keluar­ga berdoa agar dia segera ditemukan dan dalam keadaan selamat

‘‘Mohd. Haziq masih hilang sehingga hari ini dan tiada sebarang perkembangan tentangnya setakat ini tetapi kami tetap me­naruh harapan agar dia ditemukan segera,’’ katanya ketika di­hubungi di sini, hari ini.

Dalam serangan berdarah di dua buah masjid di Christchurch itu, Mohd. Haziq bersama bapa dan adiknya pergi menunaikan solat Jumaat di Masjid Al Noor sebelum lari bagi menyelamatkan diri sejurus terdengar bunyi tembakan.

Seramai 50 jemaah di masjid itu dan Masjid Linwood dilaporkan terbunuh, manakala tiga rakyat Malaysia termasuk Mohd. Tarmizi cedera akibat ter­kena tembakan.

Mariani memberitahu, dia me­mahami perasaan Mohd. Tar­mizi dan adik iparnya, Marina Hamzah, 46, ketika ini eko­ran kehilangan tanpa berita Mohd. Haziq yang sememangnya rapat dengan mereka.

‘‘Saya juga memohon kepa­da semua pihak agar tidak membuat andaian tentang Mohd. Ha­ziq termasuk mengatakan anak saudara saya itu telah meninggal dunia. Apa yang boleh saya katakan adalah tunggu maklumat sahih daripada Wisma Putra dan sama-sama berdoa agar dia ditemukan segera,’’ katanya.

Dalam pada itu, ujarnya, dia dan abang, Zakaria, 55, serta sepupu, Nordina Ahmad Fauzi, 30, mengambil penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang ke Singapura pada pukul 3 petang ini sebelum akan berlepas ke New Zealand pada pukul 7 petang ini.

‘‘Saya akan terus melawat adik di hospital yang dijangka menjalani pembedahan kedua bagi mengeluarkan baki serpi­han peluru pada belakang ba­dannya,’’ katanya.