Persoalan itu timbul apabila mayat Jong-nam yang dipercayai diterbangkan ke Beijing, China petang ini dikatakan tidak benar sebaliknya didakwa dihantar semula ke Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN), Hospital Kuala Lumpur (HKL) malam ini.

Pada awalnya, mayat mendiang dikatakan tiba di Kompleks Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 12.30 tengah hari sebelum dijadualkan dibawa naik pesawat penerba­ngan nasional pada pukul 6.25 petang.

Bagaimanapun, sumber memberitahu, mayat Jong-nam sememangnya telah dibawa ke lapa­ngan terbang itu kemudian dibawa keluar semula dari lokasi terbabit.

“Ya betul, belum hantar ke China, memang telah dihantar ke KLIA tetapi dibawa semula ke satu lokasi yang masih dirahsiakan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, mayat Jong-nam te­lah dibawa keluar dari IPFN dengan kenderaan mayat jenis Toyota Vellfire berwarna putih kira-kira pukul 2 petang dan dipercayai mayat itu dibawa ke sebuah lokasi di Cheras.

Namun begitu, kira-kira pukul 9.30 malam ini, sebuah van putih kelihatan membawa keluar sebuah keranda yang dibalut plastik bercop ‘fragile’ di IPFN, HKL.