Sasterawan Negara, Datuk Dr. Anwar Ridhwan berkata, kerajaan terdahulu mahupun yang berkuasa sekarang tidak pernah memberi isyarat jelas dan tegas terhadap kedudukan serta masa depan bahasa Melayu dalam pelbagai aspek kehidupan di negara ini.

Beliau berkata, keadaan menjadi semakin caca marba dan masa depan bahasa Melayu semakin tergugat apabila nama-nama jalan dan tempat kini turut disertakan dengan bahasa lain seperti bahasa Cina

“Kita tidak boleh menyalahkan pihak lain kerana sebenarnya terdapat dalam kalangan bangsa kita sendiri yang digelar golongan komprador iaitu pewaris nilai kolonial yang menyambung warisan barat untuk dikekalkan bersama pribumi.

“Kita pernah dijajah oleh Inggeris, kita lihat sekarang bukan sahaja budayanya tetapi bahasanya masih ada di negara ini di samping kita dicabar oleh bahasa-bahasa vernakular yang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Syarahan Perdana A. Kadir Adabi bertajuk ‘Budaya Membaca, Ilmu Tinggi dalam Bahasa Melayu dan Peduli Nasib Rakyat’ di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Bachok di sini hari ini.

Program itu anjuran bersama Pertubuhan Peradaban Melayu Malaysia Kelantan (Peradaban), Kluster Penyelidikan Peradaban dan Warisan UMK dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Timur.

Yang turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMK, Prof. Datuk Dr Ibrahim Che Omar dan Presiden Peradaban, Datuk A. Aziz Deraman.

Anwar dalam pada itu berkata, Malaysia satu-satunya negara di dunia ini di mana rakyatnya terpaksa berdemonstrasi untuk menegakkan maruah dan martabat bahasa sendiri. - UTUSAN ONLINE