Sasterawan Negara, Datuk Dr. Anwar Ridhwan berkata, kerajaan sebelum ini mahupun yang sedang berkuasa tidak pernah memberi isyarat jelas dan tegas terhadap kedudukan serta masa depan bahasa Melayu dalam pelbagai aspek kehidupan di negara ini.

Menurutnya, keadaan menjadi semakin cacamarba dan masa depan bahasa Melayu semakin tergugat apabila nama-nama jalan dan tempat kini turut disertakan de­ngan bahasa lain seperti Mandarin.

“Kita tidak boleh menyalahkan pihak lain kerana sebenarnya terdapat dalam kalangan bangsa kita sendiri yang digelar golo­ngan komprador iaitu pewaris nilai kolonial yang menyambung warisan Barat untuk dikekalkan bersama pribumi.

“Kita pernah dijajah oleh Inggeris, kita lihat sekarang bukan sahaja budayanya tetapi bahasanya masih ada di negara ini di samping kita dicabar oleh bahasa-bahasa vernakular yang lain,” katanya ketika menyampaikan Syarahan Perdana A. Kadir Adabi (3) bertajuk ‘Budaya Membaca, Ilmu Tinggi dalam Bahasa Melayu dan Peduli Nasib Rakyat’ di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Bachok di sini hari ini.

Program itu dianjurkan bersama oleh Pertubuhan Peradaban Melayu Malaysia Kelantan (Peradaban), Kluster Penyelidikan Peradaban dan Warisan UMK dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Timur.

Anwar dalam pada itu berkata, Malaysia adalah satu-satunya negara di dunia di mana rakyatnya terpaksa berdemonstrasi untuk menegakkan maruah dan martabat bahasa sendiri.

“Banyak lagi perkara lain yang menjadi cabaran seperti sikap orang Melayu terhadap bahasa mereka sendiri.

“Kita harap kerajaan baharu khususnya pimpinan universiti awam menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu tinggi kerana tanpanya kemampuan bahasa Melayu lama-kelamaan akan terpinggir,” katanya.