Dalam bahasa universal undang-undang kesalahan menghina raja disebut lese mejeste. Berasal dari bahasa Latin, laesa maiestatis yang umumnya bermaksud kecederaan kepada raja.

Tetapi Thailand yang se­ring jadi rujukan dalam bab ini juga tidak mempunyai akta khusus bagi kesalahan menghina raja. Yang ada dalam Kanun Jenayah negara itu di bawah Artikel 112.

Menghina raja dan kaum kerabat boleh membawa hukuman penjara sehingga 15 tahun. Pelaksanaannya di Thailand memang tegas de­ngan tafsiran rigid terhadap sebarang komen dan perbuatan. Komen terhadap haiwan peliharaan raja juga boleh disiasat.

Walaupun masing-masing tidak mempunyai akta khusus bagi menghukum ke­salahan menghina raja-raja tetapi penguatkuasaan di Malaysia berbeza dengan Thailand.

Keadaan ini ada kalanya menimbulkan keresahan pa­da sebahagian masyarakat khususnya orang Melayu yang bimbang jika terlalu longgar akan memberi isyarat salah sehingga mengundang komen-komen meng­hina yang tidak sepatutnya ditujukan kepada raja-raja.

Terbaharu kerajaan dilaporkan mahu menggubal akta khusus untuk kesalahan menghina raja sebagai persiapan selepas Akta Hasutan 1948 dimansuhkan. Di bawah akta itu nanti juga, definisi jelas apakah kesalahan menghina raja akan diperincikan.

Ini supaya seimbang dengan hak kebebasan bersuara yang dijamin dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan. Umumnya tiada masalah jika perbincangan secara akademik dan konstruktif tetapi yang jadi kemarahan sekarang komen-komen jelik tanpa asas.

Lihat Belanda, sebuah negara Eropah yang cukup liberal tetapi masih ada undang-undang kesalahan menghina raja walaupun hukuman penjara telah dikurangkan dalam pindaan tahun lalu.

Memang ada usaha memansuhkannya selari de­ngan kebebasan bersuara era moden, namun ramai rakyat negara itu mahu mempertahankannya apatah lagi raja mereka yang sekarang cukup dihormati dan disayangi.

Maka di Malaysia, jangan jadi ‘terbalik kot’ pula. Dan sama ada wujud akta khusus atau tidak, penguatkuasaan itu yang penting dengan tujuan memelihara institusi raja yang menjalankan puluhan tugas Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang tubuh negeri.