Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, episod hitam yang berlaku pada 8 Mac 2014 tidak akan luput daripada ingatan kita semua.

Katanya, semua pihak mengharapkan dan berdoa agar dapat mencari jawapan kepada tragedi itu melalui pelbagai usaha yang telah digemblengkan di peringkat antarabangsa, namun misi pencarian tidak berhasil.

“Penggantungan misi pencarian pada 17 Januari lalu setelah lebih dua tahun setengah misi tersebut dilancarkan sememangnya satu keputusan yang amat sukar, tetapi ia satu keputusan yang dicapai bersama Kerajaan Australia dan China ini bukanlah diambil ringan atau tanpa kepiluan.

“Namun ia bukanlah bermakna pengakhiran dalam komitmen negara untuk merungkai tragedi malang ini. Sungguhpun pencarian digantung buat masa ini sementara menunggu lebih banyak bukti yang lebih meyakinkan berdasarkan analisa kepada data dan maklumat komprehensif yang diperoleh oleh kumpulan pakar di Australia, aspirasi untuk mencari MH370 tidak pernah diabaikan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi penerangan mengikut peraturan mesyuarat 14 (1) (i) bagi memperingati kehilangan pesawat itu dalam sidang Dewan Rakyat. - UTUSAN ONLINE