Norazlina Yusof, 39, berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 11 malam itu, suaminya, Rashidi Khamis, 39, pula memimpin tiga lagi anak mereka yang berusia enam tahun hingga 11 tahun me­randuk air sejauh 50 meter ke tempat selamat.

Katanya, air naik dengan mendadak selepas hujan berterusan yang kadangkala lebat sejak Ahad lepas menyebabkan mereka enam beranak terpaksa mening­galkan rumah tersebut demi kese­lamatan.

“Berpandukan cahaya daripada sinaran lampu di luar rumah dan lampu jalan, kami me­nguatkan semangat meranduk air ke tempat selamat.

“Saya memang panik pada masa itu tetapi bersyukur kerana kami sekeluarga selamat,” kata­nya ketika ditemui di pusat pemindahan sementara di Balai Raya Kampung Sepayang di sini hari ini.

Dia merupakan antara 633 mangsa banjir daripada 168 ke­luarga yang ditempatkan di sembilan pusat pemindahan sementara di daerah ini.

Menurut Norazlina, kejadian rumah mereka dinaiki air itu adalah di luar jangkaan kerana tidak pernah berdepan situasi ber­kenaan sepanjang lima tahun tinggal di situ.

Sementara itu, Rashidi berkata, dia hanya sempat menyelamatkan beberapa barang berharga kerana air naik dengan pantas sebelum meminta semua ahli keluarganya menyelamatkan diri.

“Nasib baik tiada perkara buruk berlaku kepada kami. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada penduduk kampung yang turut membantu kami sekeluarga,” katanya.