Wisma Putra dalam satu kenyataan menegaskan, tindakan tegas itu penting bagi memastikan insiden seumpama itu tidak berulang kerana ia boleh menjejaskan hubungan dua hala yang baik antara Malaysia dan Filipina ketika ini.

"Malaysia mengutuk perbuatan seumpama itu dan melihat tindakan membakar bendera Malaysia sebagai satu insiden yang serius.

"Bendera merupakan simbol kebangsaan yang suci dan harus dihormati. Tindakan sedemikian serta komen-komen anti-Malaysia yang dibuat oleh individu ini telah menyinggung perasaan dan tuduhan yang dibuatnya adalah tidak berasas," katanya di sini hari ini.

Sebuah akaun Facebook dengan nama 'President Pamatong Supporters’ telah menyiarkan video-video pembakaran Jalur Gemilang pada 19 dan 21 Januari lalu.

Dalam kedua-dua video yang masing-masing berdurasi 19 minit 50 saat dan tiga minit 18 saat, Elly dilihat mengeluarkan kenyataan-kenyataan anti Malaysia sebelum bertindak membakar Jalur Gemilang. - UTUSAN ONLINE