Wakilnya, Pandak Ahmad berkata, desakan itu dibuat setelah ahli majlis berkenaan gagal untuk menggunakan bahasa kebangsaan sepenuhnya dalam urusan rasmi ketika menjemput penduduk awam di Skudai ke sesi dialog berkaitan penutupan Jalan Jaya Mas 1/2 dan Jalan Silat Cekak 2, dekat sini.

Katanya, tindakan tersebut bertentangan dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahasa kebangsaan sebagai bahasa rasmi

“Kekesalan ini adalah berlandaskan kepada sikap tidak mengutamakan pengggunaan bahasa rasmi yang tidak sepatutnya berlaku oleh wakil wakil rasmi sebuah institusi kerajaan apatah lagi berlatar belakangkan lambang rasmi kerajaan.

“Atas asas yang sama, alasan penggunaan bahasa lain selain bahasa kebangsaan dalam urusan rasmi kerajaan semata-mata menyokong pemahaman rakyat pelbagai kaum adalah tidak masuk akal,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum bantahan pencabulan bahasa kebangsaan dalam urusan rasmi kerajaan negeri kepada Datuk Bandar Iskandar Puteri, Adib Azhari Daud, di sini sebentar tadi.

Kira-kira 30 orang hadir mewakili pelbagai NGO antaranya Belia 4B Iskandar Puteri, Pertubuhan Warisan Melayu Iskandar Puteri, Dewan Muda Johor, Persatuan Veteran UMNO, Aktivis Sosial Anak Muda Johor dan Komuniti Anak Muda Johor.

Semalam, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar murka dengan tindakan Wei Khjan yang menggunakan bahasa Mandarin dalam urusan surat-menyurat rasmi pihak berkuasa tempatan berkenaan dalam satu entri yang dimuat naik dalam Facebook rasmi baginda. - UTUSAN ONLINE