Pelajar madrasah tahfiz di Kampung Lukut, Kota Tinggi itu, menghembuskan nafas terakhir pukul 2.05 petang ini semasa ahli keluarganya sedang membacakan surah Yasin di sisinya.

Pemergiannya membawa segala derita yang dialami sejak ke­dua-dua belah kakinya terpaksa dipotong hingga paras betis setelah dijangkiti kuman dan darah beku Jumaat lalu.

Kedua-dua belah kaki Mohamad Thaqif Amin yang bertukar lebam kehitaman dipotong selepas didakwa dipukul beberapa kali dengan paip getah oleh seorang pembantu warden pusat madrasah tahfiz berkenaan.

Sejak dipotong kedua-dua belah kaki, Mohamad Thaqif Amin atau mesra dipanggil Akim dalam kalangan ahli keluarganya, berada dalam keadaan kritikal dan koma.

Penderitaan kanak-kanak itu yang tular di media sosial dianggap kejadian pertama seumpamanya, menggemparkan masyarakat yang rata-rata bersimpati atas apa yang berlaku.

Kesengsaraan mangsa berterusan, setelah kehilangan kaki, ta­ngan kanan pula bertukar menjadi hitam.

Tangan kanannya dijadualkan dipotong pukul 8 malam tadi sebelum ditunda pukul 8 pagi ini tetapi ditangguhkan lagi kerana keadaan jantung tidak stabil sebelum me­ninggal dunia.

Sementara itu, ibu saudaranya, Nurul Nabila Ahmad, 30, ketika ditemui di HSI berkata, dia tidak sanggup melihat keadaan Akim selepas kedua-dua belah kaki dipotong sebelum ini.

Menurutnya, arwah pernah memberitahu, dia mahu menjadi seorang tahfiz kerana mahu membawa ayah dan ibunya masuk ke syurga.

“Akim merupakan seorang yang periang dan aktif bersukan terutama bola sepak. Dia juga mahu berusaha untuk menghafal al-Quran dalam tempoh dua tahun,” katanya dalam keadaan sebak.

Menurutnya, sebelum mema­suki pusat tahfiz, Mohamad Thaqif Amin merupakan murid yang cemerlang, malah sebelum koma dan semasa dirawat di HSI, arwah sentiasa membaca surah Yasin dan al-Mulk.