NOOR HISHAM ABDULLAH

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, dalam tempoh berkenaan, secara keseluruhannya seba­nyak 14,513 kes demam denggi dilaporkan iaitu penurunan 43 peratus berbanding 25,403 kes bagi tempoh sama tahun lalu.

Beliau memberitahu, pemantauan secara mingguan pula mendapati minggu kelapan tahun ini iaitu dari 19 Februari sehingga 25 Februa­ri lalu mencatatkan jumlah kes demam denggi sebanyak 1,937 kes iaitu peningkatan 1.1 peratus berbanding 1,915 kes pada minggu sebelumnya.

“Pemantauan lokaliti wabak demam denggi me­nunjukkan sebanyak 678 lokaliti wabak yang masih aktif manakala terdapat 94 lokaliti panas semasa yang melibatkan lima buah ne­geri iaitu di Selangor (69 lokaliti), Perak (15 lokaliti), Kuala Lumpur dan Putrajaya (empat lokaliti) dan masing-masing tiga lokaliti di Johor serta Negeri Sembilan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Noor Hisham memberitahu, kementeriannya mengesahkan sebanyak 50 kes Chikungunya dilaporkan dari 15 Februari sehingga 2 Mac lalu dengan 36 kes disahkan positif di Ba­ling, Kedah dan 14 kes di Gombak, Selangor.

Katanya, lokaliti-lokaliti Chikungunya di Baling adalah Taman Batu Pekaka, Jalan Market, Taman Orkid, Taman Insaniah, Taman Sheikh Fadzir, Taman Tanjung Puteri dan Kampung Jernang manakala satu lokaliti di Gombak (Kampung Simpang Tiga).

“Simptom penyakit Chikungunya termasuk demam, ruam biasanya membabitkan kaki, tangan dan badan dan sakit badan atau sakit sendi yang boleh menjadi teruk sehingga menghadkan pergerakan pesakit. Terdapat juga pesakit yang mengalami sakit kepala dan jangkitan conjunktiva,” ujarnya.

Sementara itu jelas Noor Hisham, tiada kes Zika baharu dilaporkan pada tahun ini dengan keputusan ujian bagi 235 sampel darah dan air kencing dari kalangan pesakit yang menunjukkan gejala jangkitan virus ber­kenaan adalah negatif.

Jelasnya, pemantauan sistem survelan virus Zika itu dijalankan oleh Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) dan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) bagi tempoh dari 1 Januari sehingga 25 Februari lalu.