Dalam keadaan terdesak, Mohamad ketika berucap dalam satu ceramah gabungan pembangkang PKR di Bulatan Lapangan Terbang Padang Mat Sirat di sini malam tadi, turut mengulangi skrip lama kononnya pemimpin-pemimpin tertinggi Pas telah dibeli oleh UMNO.

“Pas ahlinya cukup baik tetapi pemimpinnya telah dibeli oleh UMNO. Ahli Pas termasuk di Langkawi mesti hukum pemim­pin kamu. Tolonglah jangan undi Pas kerana pemimpinnya telah menjual kamu (ahli Pas),” katanya.

Selain Mohamad, cera­mah tersebut turut disertai bekas Pengerusi PPBM, Tun Dr. Mahathir Mohamad; Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail; bekas Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas Timbalan Presiden PPBM, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Dalam pada itu, Mohamad seperti biasa terus ‘membodek’ Dr. Mahathir yang pernah menahannya di bawah Akta Ke­selamatan Dalam Nege­ri (ISA) secara tidak bertempat, kononnya pada zaman Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri, suasana di negara ini lebih demokrasi berbanding sekarang.

Sedangkan hakikatnya pada masa itu, pemimpin pembangkang langsung tidak diberi kebebasan bersuara dan media dikawal selain pelbagai kemusnahan lain.

Sementara itu, Mukhriz turut memperlihatkan dendamnya terhadap Barisan Nasional (BN) apabila terus membuat tuduhan liar dan menghasut rakyat membenci kerajaan yang pernah memberinya peluang meme­gang pelbagai jawatan penting termasuk Menteri Besar.

Dakwa calon PPBM Parlimen Jerlun dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jitra itu, kerajaan telah merosakkan Tabung Haji dan Felda tanpa menyedari hakikat sebenar bahawa dua agensi tersebut telah banyak memberi manfaat kepada rakyat sejak sekian lama.