Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, selain itu demokrasi berfungsi untuk menjamin kesamarataan hak serta kebebasan untuk semua rakyat.

Pun begitu, Anwar Ibrahim menyatakan, itu tidak bermakna kerajaan, dalam mengamalkan demokrasi akan mengabaikan semua pentimbangan terhadap kepentingan kaum dan agama.

Beliau memberi contoh, walaupun bahasa Melayu diangkat menjadi bahasa kebangsaan, kepentingan bahasa lain seperti bahasa Cina tidak akan diketepikan sama sekali.

"Kita boleh tekankan kepentingan penguasaan bahasa Melayu kepada kaum Cina.

 "Tetapi dalam masa sama mereka juga perlu diberikan keyakinan bahawa penguasaan bahasa ibunda mereka tidak dihalang malah boleh diangkat dengan syarat kepentingan bahasa kebangsaan tidak diremehkan malah terus dimartabatkan," kata beliau.

Menurut Anwar, persefahaman seperti dalam soal bahasa adalah satu bentuk keterangkuman kaum yang lebih baik berbanding mempertahankan kedudukan bahasa kebangsaan sehingga tindakan itu dilihat seolah-olah cuba menenggelamkan kepentingan bahasa lain.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan mengenai kesan buruk keterangkuman kaum kepada negara sewaktu sesi soal jawab selepas menyampaikan syarahan bertajuk Malaysia Baru Ke Arah Memperkukuh Negara Bangsa pada program Syarahan Negarawan 2018 anjuran DBP di sini hari ini.

Dalam masa sama Anwar turut menyatakan, keterangkuman kaum tidak akan menjejaskan kepentingan orang Melayu.

Jelas beliau, dasar kesamarataan  kaum yang dilaksanakan kerajaan tidak bermakna keperluan dan tindakan yang tegas bagi mengangkat tahap kehidupan kaum Melayu dinafikan.

"Tindakan tegas itu tetap akan dilakukan kerana itulah yang ditakrifkan sebagai keadilan.

"Contohnya, meritokrasi adalah perkara yang penting untuk membangunkan negara tetapi dalam hal ini kita tidak boleh terlalu mementingkannya sehingga mengetepikan kepentingan keadilan," jelas beliau.

Tambah beliau, cabaran semasa memerlukan masyakat mengubah kefahaman terhadap takrifan keterangkuman melangkaui isu perkauman. - UTUSAN ONLINE