Majlis yang disempurnakan oleh Presiden Indonesia, Joko Widodo itu turut dihadiri menteri kabinet, gabenor dan pemimpin-pemimpin utama wilayah Indonesia, 35 duta luar negara, tokoh korporat dan 15,000 pengamal media seluruh Indonesia.

Delegasi NUJM terdiri daripada Bendahari Agung NUJM, Baharuddin Reseh dan Penolong Bendahari Agung NUJM, Wan Noor Hayati Wan Alias.

Delegasi dari ISWAMI diterajui Datuk Zulkefli Salleh, Setiausaha Agung ISWAMI, Nasir Yusoff, Ketua Pengarang Bernama yang juga anggota Majlis Penyelia ISWAMI, Datuk Zakaria Abdul Wahab, Ketua Pengarang Utusan Borneo Lichong Angkui dan Setiausaha Kerja ISWAMI, Sabaruddin Sabri.

HPN 2019 dianjurkan bersama pengamal media di Indonesia yang terdiri daripada Persatuan Wartawan Indonesia (PWI), Dewan Pers Indonesia, Serikat Penerbit Surat Kabar (SPS), Asosiasi Televisi Swasta Indonesia (ATVSI), Asosiasi Televisi Lokal Indonesia (ATVLI), Persatuan Radio Siaran Swasta Nasional Indonesia (PRSSNI), dan Persatuan Perusahaan Periklanan Indonesia (PPPI).

Sambutan HPN 2019 bermula sejak 7 Februari lalu dengan pelbagai program menarik seperti pameran, konvensyen dan program hiburan yang turut membabitkan penduduk setempat.

Widodo dalam ucapannya menegaskan ketepatan fakta serta laporan adil berupaya mengekalkan tahap kepercayaan orang ramai terhadap media konvensional walaupun berhadapan saingan hebat media sosial.

"Kepercayaan penduduk Indonesia kepada media konvensional semakin meningkat dan mengikut kajian Edelman untuk tahun 2018 ia mencapai lebih 60 peratus.

"Media konvensional dilihat masih relevan kerana rasa tanggungjawab untuk menyampaikan berita tepat, adil dan sahih.

"Kepercayaan penduduk Indonesia terhadap media sosial pula menurun sebanyak lima peratus iaitu 40 peratus berbanding tahun sebelumnya.

"Tidak dinafikan semua orang boleh jadi wartawan ekspres tetapi jika penulisan tanpa fakta dan adil, ia akan mengikis keyakinan orang ramai terhadap sesuatu media," katanya.

Di Indonesia terdapat 43,000 portal berita atas talian , 3,000 agensi media cetak dan 4,000 agensi media penyiaran.

Industri media di Indonesia bermula pada 1937 menerusi penubuhan agensi berita ANTARA pada 13 Disember 1937 dan ia terus berkembang serta bercambah dalam menyalurkan aspirasi rakyat membangkitkan perjuangan kemerdekaan dan pengisian kemerdekaan.

Simbolik kepada penghargaan itu, tanggal 9 Februari diumumkan sebagai Hari Pers Nasional oleh Presiden Indonesia ketika itu, Presiden Soeharto pada 1985. - UTUSAN ONLINE