Asyraf Wajdi yang mewakili kerajaan Malaysia bertemu dengan baginda yang merupakan putera kepada Raja Faisal iaitu Raja Ketiga Arab Saudi yang memerintah dari 1953 hingga 1964. 
 Dalam pertemuan tersebut, beliau menyampaikan ucapan penghargaan dan tahniah bagi pihak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan seluruh jemaah haji negara ini atas kecemerlangan kerajaan Arab Saudi menguruskan 2.8 juta jemaah haji dari seluruh dunia tahun ini.

“Usaha tersebut bukan suatu yang mudah untuk menguruskan pergerakan jemaah terbesar bagi tempoh masa lima hari yang melibatkan empat lokasi utama ibadah haji iaitu Masjidil Haram, Arafah, Muzdalifah dan Mina.
 “Gabenor Mekah turut memuji negara ini kerana mempunyai institusi seperti Tabung Haji yang berjaya menguruskan jemaah haji dengan cemerlang. Malah, baginda beberapa kali menyebut bahawa jemaah haji Malaysia adalah antara yang terbaik kerana paling disiplin dan tertib dalam perlaksanaan ibadah tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 
Turut hadir dalam pertemuan berkenaan ialah Duta Malaysia ke Arab Saudi, Datuk Zainol Rahim Zainuddin; Ketua Pengarah Eksekutif Tabung Haji, Datuk Seri Johan Abdullah serta Ahli-Ahli Lembaga Pengarah Tabung Haji, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Abdul Shukor Husin, Tan Sri Mohamad Aziz, Tan Sri Mohamed Apandi Ali dan Tan Sri Shukry Salleh.

Dalam pertemuan itu, Asyraf Wajdi juga mengambil kesempatan memaklumkan secara rasmi berkenaan hasrat kerajaan Malaysia melalui Tabung Haji untuk bekerjasama dengan kerajaan Arab Saudi berhubung pembinaan Kompleks Tabung Haji.

Ia bagi menampung keseluruhan jemaah Haji Malaysia seperti mana hasrat yang pernah dibincangkan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak dengan Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdul Aziz Al-Saud ketika lawatan rasminya ke negara ini awal tahun ini.

“Dengan adanya kerjasama ini akan menjadikan usaha pengurusan haji khususnya dari negara ini menjadi lebih efisien serta mampu mengurangkan kos pengurusan haji untuk jangka panjang,” jelasnya.