Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof berkata, ia akan membawa mesej bahawa rakyat di negara ini memilih jalan kedamaian berban­ding keganasan dan kebencian.

“Dalam masa yang singkat kita berjaya menggerakkannya (program solidariti) dan insya-Allah, kita punya simbol iaitu burung merpati dan bunga raya akan menjadi simbol kepada keda­maian versi Malaysia kepada dunia.

“Deklarasi Kedamaian Kuala Lumpur 2019 akan menjadi deklarasi yang kita akan bawa ke mana-mana. Kita minta juga media supaya uar-uarkan deklarasi kita ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program Solidariti Kedamaian dan pelancaran Deklarasi Kedamaian Kuala Lumpur 2019 di Dataran Merdeka, di sini hari ini.

Yang turut hadir dalam program itu Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy; Menteri Industri Utama, Teresa Kok; Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub; Menteri Kesihatan, Datuk Dr. Dzulkefly Ahmad dan Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad.

Turut serta bagi memberi penghormatan ialah Pesuruhjaya Tinggi New Zealand ke Malaysia, Hunter Nottage.

Justeru, lima teras Deklarasi Kedamaian Kuala Lumpur 2019 menyatakan seperti berikut:

  • Mengecam segala tindakan diskriminasi, perlakuan berbentuk keganasan serta pembunuhan atas nama kaum dan agama.
  • Menolak dan mengutuk sebarang tindakan serta budaya kebencian atas nama kaum dan agama.
  • Mendukung segala usaha menghidupkan kedamaian dan menyokong keharmonian antara kaum dan agama.
  • Mempertahankan Perlembagaan Persekutuan serta kedaulatan negara daripada diancam oleh anasir kebencian atas nama kaum dan agama.
  • Menyokong dan berganding bahu bersama warga dunia dalam usaha membina persekitaran berteraskan keamanan dan kedamaian berpaksikan pengiktirafan kepelbagaian kaum dan agama.