Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, Dekad Baharu Johor diperkenalkan untuk membangunkan Johor menjadi negeri paling membangun dan sejahtera dalam tempoh 10 tahun.

“Sudah pastilah segala dasar dan agenda pembangunan yang dirancang oleh kerajaan negeri mengambil kira keserasian dan kesesuaiannya dengan dasar dan agenda besar di peringkat nasional, begitu jugalah dengan gagasan Dekad Baharu Johor ini.

“Ia adalah selari dan menyantuni aspirasi-aspirasi yang terkandung dalam Wawasan 2020 dan TN50,” katanya pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kota Iskandar, di sini sebentar tadi.

Mohamed Khaled yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Azahar Ibrahim (BN-Tenang) sama ada Dekad Baharu Johor selari dengan agenda-agenda nasional seperti Wawasan 2020 dan TN50. - UTUSAN ONLINE