Ketua Pengarah Jabatan Ke­selamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Ir. Mohtar Musri berkata, sikap degil pekerja di tapak pembinaan untuk mengikuti langkah-langkah keselamatan yang ditetapkan menyebabkan segala program yang dianjurkan menjadi sia-sia.

Menurutnya, pada tahun lalu, kadar kemalangan di tapak pembinaan di seluruh negara adalah 3.1 orang bagi setiap 1,000 pekerja.

“Pada 2013, kadar kemalangan adalah 3.28 orang bagi setiap 1,000 pekerja.

“Tahun ini, kita sasarkan kadar kemalangan di tempat kerja berkurangan kepada tiga pekerja bagi setiap 1,000 orang, namun sasaran tersebut sukar dicapai de­ngan peningkatan kemalangan akibat sikap acuh tidak acuh pekerja kepada keselamatan diri, lalai dan pendidikan terhadap pematuhan piawaian keselamatan di tempat pembinaan yang kurang,” kata­nya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Hari Kesihatan, Keselamatan dan Alam Sekitar anjuran IJM Construction Sdn. Bhd. (IJM) di sini hari ini.

Yang hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif IJM, Datuk Ir. Soam Heng Choon dan Pengarah JKKP negeri, Zahrim Osman.

Mohtar menjelaskan, kadar penurunan kes kemalangan di tapak pembinaan boleh disumbangkan oleh jam bekerja tanpa hilang masa kecederaan (LTI) yang tinggi yang dicatatkan oleh pemaju-pemaju projek pembinaan di negara ini.

“Tahniah diucapkan kepada IJM menerusi projek Rimbayu yang mencatatkan lapan juta jam LTI; projek MRT V5 sebanyak enam juta jam LTI dan projek Seremban 2 dan projek perbandaran Puncak Alam yang mencatatkan empat juta jam LTI,” ujarnya.