Setiausaha Perusim, Hus­sien Ibrahim berkata, penggunaan restoran mamak se­cara umum memberi impli­kasi negatif kepada pihak yang tidak terlibat.

Katanya, kesan daripada perkara itu keuntungan res­toran mamak telah ber­kura­ngan melebihi 20 peratus sejak kebelakangan ini.

“Sejak kebelakangan ini, persepsi masyarakat terhadap restoran mamak dipandang serong akibat beberapa isu yang tular khususnya dalam kala­ngan masyarakat Islam.

“Apa yang kami harapkan adalah pihak berkuasa mendedahkan nama restoran untuk diketahui umum dan bukan sekadar menyebut restoran mamak,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Perusim Negeri Johor, Nasar Khan M. E. Abd. Kadhim; Setia­usaha Perusim, Hussein Ibrahim dan Ahli Jawatankuasa Perusim, Habeebullah M. E. Abd. Kadhim.

Baru-baru ini tular isu kebersihan dan status halal restoran mamak diragui dan berikutan itu pihak berkuasa tempatan melakukan operasi bersepadu dengan memeriksa restoran-restoran mamak di sini.

Kelmarin sebuah restoran mamak yang beroperasi hampir 18 tahun di Bandar Seri Alam, Pasir Gudang, dikesan menggunakan lebih 30 tangkal dan azimat sebagai ‘pelaris’ jualan.