Persatuan Kebajikan Surplus Pulau Pinang, Sophian Mohd. Zain berkata, kerajaan negeri perlu mengemukakan bukti serta fakta tepat sebelum mengeluarkan apa-apa dakwaan bagi menutup kelemahan sendiri.

"Kita minta kerajaan negeri umumkan siapa yang menghasut penyewa, kerajaan negeri boleh lontarkan persepsi tetapi mereka perlu buktikan siapa yang menghasut.

"Kerajaan negeri boleh tanya sendiri kepada penyewa adakah mereka telah dihasut sehingga kini," katanya ketika ditemui di pekarangan Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di sini hari ini.

Sebelum ini, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, mendakwa pihak tertentu menghasut penduduk PPR Taman Manggis sekali gus mengeruhkan lagi keadaan yang turut menjejaskan usaha membantu mereka.

Sejak Rabu lalu, enam penyewa yang diusir keluar dari rumah mereka kerana telah hilang kelayakan menghuni unit PPR itu masih menjadikan pekarangan Komtar sebagai tempat tinggal sementara.

Tinjauan Utusan Malaysia di Komtar hari ini juga mendapati penyewa bertindak mendirikan khemah sementara selain meletakkan penyidai pakaian di kawasan berkenaan yang menjadi pintu masuk ke sebuah taman tema terkenal di Georgetown.

Dalam pada itu, penyewa PPR Taman Manggis, Nazrimah Jamal Abidin, 44, berkata, tiada siapa yang menghasut penyewa untuk terus tinggal di pekarangan Komtar selepas rumah masing-masing dikunci Bahagian Perumahan kerajaan negeri.

"Kami hanya mempertahankan hak kami, kami mahu pulang ke rumah tanpa sebarang masalah pada masa depan.

"Siapa yang suka tinggal di sini, memang tidak selesa ditambah dengan soal keselamatan anak-anak, tapi kami tiada pilihan lain," katanya. - UTUSAN ONLINE