Demikian ujar Ketua Pengarah DBP, Datuk Abang Sallehuddin Abang Shokeran ketika diminta mengulas isu pengambilan pekerjaan berdasarkan syarat kefasihan berbahasa mandarin yang dikenakan oleh syarikat swasta di negara ini.

“DBP berpandangan bahawa selain daripada kefasihan berbahasa kebangsaan, kefasihan dalam bahasa-bahasa lain, khususnya bahasa Mandarin, bagi memperoleh pekerjaan di pelbagai sektor swasta dalam negara tidak wajar dijadikan kriteria utama.”

“Syarat tersebut akan menafikan peluang pekerjaan graduan Bumiputera yang pada hakikatnya memang tidak tahu berbahasa Mandarin, sekali gus akan melebarkan jurang pekerjaan antara Bumiputera dengan bukan Bumiputera,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, perkara yang ada dalam perlembagaan, apabila dituntut jangan dianggap rasis. Hal ini merupakan persetujuan bersama semua kaum atau kontrak sosial yang telah dipersetujui semasa negara mencapai kemerdekaan.

“Jika berlaku pemisahan kaum dalam pekerjaan, hal ini akan melebarkan lagi interaksi antara kaum yang tidak sihat dalam cita-cita masyarakat keseluruhannya untuk mewujudkan perpaduan kaum. Perpaduan tinggi nilainya di dalam negara ini,” tegas beliau.

“Isu yang dibangkitkan oleh YB Dr. Maszlee Malik juga merupakan perkara yang selalu dibangkitkan oleh masyarakat kepada DBP. Hal ini sepatutnya ada penyelesaiannya dan mesti ditangani secara ikhlas oleh semua pihak, terutama pihak pedagang dan peniaga.”

Menurut beliau lagi, dalam isu bahasa Melayu, semua kaum perlu ikhlas menerimanya sebagai bahasa kebangsaan, yang merupakan salah satu lambang jati diri bangsa Malaysia dan pancang utama pembinaan negara ini. - UTUSAN ONLINE