Malah, usaha itu juga telah dikembangkan ke enam Wilayah Andaman di selatan negara jiran kita Thailand sejak beberapa tahun yang lalu.

Dalam pada itu Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menghadiri majlis sembah mengadap bagi membincangkan program-program yang bakal dilaksanakan secara bersama pada tahun ini dan disusuli dengan majlis santapan tengah hari yang dihoskan oleh pihak DBP di Hotel Royal Chulan Kuala Lumpur.

Keberangkatan tiba baginda selaku Yang Dipertua MAIPs disambut oleh Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Prof. Dr. Mohamed Hatta Shaharom dan Ketua Pengarahnya, Datuk Abang Sallehuddin Abang Shokeran.

Turut hadir ialah Mufti Perlis Datuk Arif Perkasa Dr. Mohd Asri Zainul Abidin, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs Mohd Nazim Mohd. Noor dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) Dr. Hazman Hassan.

Dalam pada itu, Mohamed Hatta, merakamkan rasa menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada Tuanku Syed Faizuddin Putra atas perkenan dan kesungguhan baginda dalam menaungi banyak program yang memberi manfaat kepada rakyat, termasuklah program bahasa dan persuratan dalam dan luar negara sejak sekian lama. 

Naungan dan dukungan baginda ini sudah tentulah akan menjadi faktor yang cukup besar dan diperlukan dalam menjayakan apa-apa juga program kenegaraan, katanya. 

Abang Sallehuddin pula berkata, bahawa DBP akan terus komited untuk bersama-sama dengan MAIPs dalam usaha memperkembang dan memperkasakan bahasa dan persuratan Melayu demi manfaat bersama, di samping akan terus  meninjau segala ruang dan peluang baharu untuk menghasilkan impak yang terbaik bagi segenap inisiatif yang dilaksanakan.

Sementara itu,  Mohd Nazim berkata, selain daripada menganjurkan bengkel-bengkel bahasa dan jawi, serta menerbitkan pelbagai buku dan artikel secara bersama, MAIPs juga amat berharap agar DBP akan meneruskan segala kerjasama dengan MAIPs dalam aktiviti tahunannya baik di dalam mahupun luar negara bersempena program ‘Perkampungan Sunnah’, ‘Mahabbah ke Enam Wilayah Andaman’, ‘OP PASIR di Pantai Timur Sabah’ dan lain-lain lagi dalam usaha untuk sama-sama memartabatkan sastera dan Bahasa Melayu.

Untuk rekod, MAIPs sebagai rakan strategik DBP telah pernah diberi pengiktirafan dinobatkan sebagai penerima ‘Anugerah Citra Sahabat DBP 2018’. - UTUSAN ONLINE