Ketua Pengarah DBP, Datuk Abdul Adziz Abas, berkata, mereka yang berbakat dan sering bergiat dalam bidang seni, terutama seni jalanan atau lebih dikenali sebagai ‘busking’ dan lakonan dipelawa mempamerkan kehebatan persembahan mereka dengan menyertai pertandingan-pertandingan ini.

"Malah lebih mencabar lagi apabila kita meletakkan syarat para peserta perlu menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya dalam usaha kita untuk memartabat dan memperkasakan bahasa itu sebagai Bahasa Kebangsaan.

"Difahamkan terdapat sebanyak 13,000 kumpulan Buskers di negara ini dan saya berharap semua kumpulan ini akan masuk bertanding, menyanyikan lagu-lagu puisi terbitan DBP bagi memeriahkan lagi sambutan BBK,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Program Ekspresi Muzik Jalanan 2018 dan Festival Filem Pendek Nusantara 2018 dengan kerjasama Majlis Belia Malaysia (MBM), Kelab Penghibur Jalanan Malaysia (MYBC) dan Persatuan Pengkarya Filem Muda Malaysia (MYFA) di Galeri Bahasa Jiwa Bangsa, Menara DBP, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP Datuk Abang Sallehuddin Abang Shokeran.

Maklumat lanjut mengenai pertandingan ini boleh didapati di laman sosial Facebook DBP. - UTUSAN ONLINE